Mumin Blog

Masalah orang muda mencari kerja

APABILA Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjelaskan beliau masih belum membuat keputusan mengenai umur persaraan baru kakitangan perkhidmatan awam, ramai anak muda terutama yang berbangsa Melayu menarik nafas lega.

Sementara itu, ahli-ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pula tersentak kerana hasrat untuk terus bekerja selepas usia mencecah 56 tahun menjadi kabur.

Orang lama ini perlu memikirkan alternatif lain untuk memastikan dapur rumah terus berasap seperti sebelum ini dan tidak bergantung kepada anak-anak untuk menjana pendapatan tambahan sebagai penjaga cucu-cucu mereka.

Apa pun dilema anak-anak muda dan golongan dewasa ini, hakikatnya, kira-kira 400,000 belia termasuk graduan di negara ini menganggur dan masih tercari-cari kerjaya jangka panjang.

Walaupun ekonomi negara berkembang pesat dan banyak firma akan beroperasi dengan pelaksanaan dasar fiskal negara, fakta semasa menunjukkan peluang pekerjaan di kementerian, jabatan serta agensi kerajaan menjadi buruan dan cita-cita sebahagian belia tempatan terutama lepasan universiti.

Populariti ini turut melibatkan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) yang semakin menjadi pilihan di kalangan graduan sebaik sahaja menamatkan pengajian semata-mata kerana peluang untuk merebut peluang pekerjaan di sektor swasta yang tipis.

Ia menjadi lebih tipis kepada belia dan graduan Melayu kerana banyak syarikat terutama dari sektor kecil dan sederhana (IKS) dimiliki bukan Melayu yang tentunya mengutamakan pemilihan pekerja di kalangan kaum sendiri ditawarkan kepada belia Melayu.

Bagi menyekat peluang itu secara ‘halus’, masih banyak iklan peluang pekerjaan menyelitkan keperluan untuk manamana calon fasih dalam bahasa tertentu, sanggup keluar bertugas tidak mengira waktu dan segala faktor penghalang bagi belia dan graduan Melayu.

Selain itu, tawaran gaji rendah, ketiadaan kelebihan pekerjaan termasuk tanggungan kos perubatan dan tiada pencen di sektor swasta turut menjadi penyebab belia dan graduan memilih bekerja dengan kerajaan. Semangat itu ditiupkan lagi oleh ibu bapa yang mahu anak mereka bekerja dengan kerajaan. Terjamin masa depan.

PekerjaanMungkin benar kata-kata Cuepacs, belia dan graduan tempatan tentunya tiada masalah untuk mendapat pekerjaan jika tidak memilih kerja kerana negara dihinggapi oleh dua juta pekerja asing, namun apakah bidang kerja berkenaan sesuai setelah berhabis puluhan ribu ringgit di menara gading?

Tentu pemimpin Cuepacs memahami perasaan anak muda apabila terpaksa bekerja dalam sektor berteraskan kemahiran tangan seperti pembancuh simen, pembuat air di restoran, buruh sektor binaan, pemungut buah kelapa sawit atau pencuci bangunan dan kereta setelah menamatkan pengajian di universiti atau kolej yang menelan belanja besar.

Berbaloikah bersusah-payah menelaah buku sampai lebam biji mata dan makan mi segera setiap hari di asrama kampus jika setakat keluar universiti nanti bekerja bersama-sama warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar yang sesetengah daripada mereka tidak tahu membaca sekalipun?

Meniti perjalanan seterusnya kehidupan sebagai belia dan graduan tempatan, jika memperoleh pekerjaan sekalipun, gaji pokok paling tinggi yang akan dibayar ialah RM1,800 sebulan dan wang itu juga perlu dibelanjakan untuk membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang rata-ratanya sekitar RM200 sebulan.

Bayaran balik pinjaman pendidikan itu meningkat berbanding nilai asal kerana caj perkhidmatan tiga peratus yang dikenakan ke atas peminjam.

Caj perkhidmatan ini menjadi beban kepada mereka yang baru memasuki alam pekerjaan kerana setelah ditolak dengan bayaran PTPTN itu, wang baki untuk dibelanjakan ialah RM1,600, itu pun sebelum ditolak lagi dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan hal-hal lain.

Berdasarkan perkiraan kasar bagi graduan yang baru bekerja, mereka juga perlu membeli kereta (purata RM600 sebulan), perbelanjaan harian (purata RM500 sebulan), sewa bilik dan bayaran bil elektrik/air sekitar RM300 sebulan.

Baki yang tinggal cuma RM200 sebulan dan wang itu jugalah yang ada untuk dihantar kepada ibu bapa di kampung, simpanan deposit pembelian rumah dan bayaran tiket wayang, bagi menghiburkan hati dan bersama kawan.

Episod seterusnya kehidupan seorang belia terutama anak-anak Melayu tentunya melangkah ke gerbang perkahwinan, di samping desakan keluarga untuk melihat anak mereka hidup berpasangan dan membina kehidupan sebenar.

Sekarang, jika mahu berkahwin, seseorang perlu menyediakan ‘modal’ sekurang-kurangnya RM8,000 yang hanya mencukupi menampung kos aktiviti kenduri-kendara secara kecil-kecilan termasuk hantaran.

Mahu atau tidak, belia tersebut terpaksalah ke mana-mana cawangan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) atau Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk memohon pinjaman peribadi bagi mengelakkan kes zina.

Berbalik kepada gaji permulaan RM1,800 tadi, jika perbelanjaan yang sama berterusan, agak mustahil untuk orang muda membeli rumah walaupun setelah berkahwin kerana tidak mampu berbuat demikian melainkan terus menyewa sepanjang hayat dan tiada bekalan tempat berteduh pada hari tua.

Bagi yang berminat berniaga, terutama anak-anak Melayu, cita-cita itu sukar gara-gara tiada pengalaman dan modal yang secukupnya sekalipun untuk memulakan bisnes kecil. Hendak atau tidak, belia Melayu terpaksa ‘mewarisi’ peranan ibu bapa sebagai masyarakat pekerja.

Walaupun kerajaan menyediakan banyak tabung dan dana untuk membantu usahawan baru khususnya Melayu, namun usaha itu sering ‘disabotaj’ oleh sikap pegawai pinjaman yang menjadikan proses permohonan rumit selain mengehendaki pelbagai dokumen.

“Sikap pegawai pinjaman begitu kerana semua penilaian dibuat oleh orang yang tidak pernah menjalankan perniagaan, setakat keluar dari universiti dan terus duduk di atas kerusi empuk untuk membelek kertas cadangan.

“Dalam sesetengah kes, ada juga pinjaman tidak diterima walaupun telah enam bulan diluluskan dan segala rayuan mengenainya hanya dibalas dengan alasan teknikal dan birokrasi,” memetik kata-kata seorang peniaga Melayu yang pernah ‘dihalau’ dari KLCC.

KaburDalam pada itu, pinjaman mikro kredit yang sesuai untuk peniaga muda baru mula menceburi bidang perniagaan kecil-kecilan pula yang sepatutnya membantu meringankan usahawan kini dilihat sebagai penambah beban ekoran pengenaan kadar faedah dua digit.

Masakan tidak membebankan jika usahawan kecil yang menjana perolehan tahunan tidak sampai RM100,000 yang meminjam RM30,000 untuk memajukan bisnesnya terpaksa membayar balik secara ansuran dalam tempoh beberapa tahun berjumlah RM45,000.

Ini bermakna faedah atas pinjaman RM30,000 itu ialah RM15,000, iaitu 50 peratus atau separuh daripada nilai asal pinjaman.

Secara realitinya, anak-anak muda berdepan dengan dilema dan kesempitan hidup untuk membina kerjaya dan kehidupan. Justeru, generasi muda ini tidak patut disalahkan jika kabur dalam merencana masa depan kerjaya sendiri.

Oleh Amran Ahmad (Mingguan Malaysia)

0 responses so far ↓

  • There are no comments yet...Kick things off by filling out the form below.

Leave a Comment